Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari akan memperkatakan mengenai tajuk: “PINTU KEREDHAAN”.
Muslimin Yang Berbahagia,
Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70:
Maksudnya: “Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. ”
Namun persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak. Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Muslimin Yang Berbahagia,
Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012 seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.
Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya”. (Riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Renungilah kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW yang menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam keadaan nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada zaman hidupnya banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat keredhaan seorang ibu.
Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada kedua orang tuanya. Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang di manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan. Janganlah kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.
Muslimin Yang Berbahagia,
Bersempena dengan 1 Oktober yang telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua. Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka. Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada kedua ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang. Ingatlah bahawa ketaatan kepada kedua ibu-bapa merupakan pintu keredhaan Allah SWT di dunia ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
No comments:
Post a Comment